Sunday, October 5, 2008

EDISI AIDILFITRI

Salam Aidilfitri

Terlewat sedikit tahun ini untuk mengucapkan Salam Aidilfitri kepada keluarga, guru-guru, sahabat handai dan juga kenalan. Keluarga di Malaysia hanya sempat saya hubungi pada hari raya ke-4. Bukannya apa. Saya ketika itu berada di satu tempat yang jauh dari sumber internet. Namun sempat juga saya dahulukan beberapa mesej kepada beberapa orang yang utama. Jika anda menerima mesej tersebut, maka anda adalah orang yang diutamakan dalam hidup saya. Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin.


Idfu

Terletak di selatan Republik Arab Mesir, beberapa puluh kilometer sebelum memasuki kawasan Aswan. Perjalanan menaiki keretapi mengambil masa lebih kurang 13 jam dari Kota Kaherah. Pengalaman menyambut Aidilfitri di sini amat berbeza sekali daripada tahun-tahun yang telah lepas. Jika di Kaherah masih boleh jumpa lagi rendang, kuih raya, ketupat tiruan dan pelbagai lagi makanan ala-ala raya di rumah negeri. Tetapi di sini, hanya dengan 2 biji pisang, sebiji jambu dan kekacang di pagi Aidilfitri sebelum menunggu waktu sarapan Isyh (roti arab), 'Asal Iswit (madu hitam) dan juga Fuul (kacang). Salah seorang daripada kami memberi idea dengan membayangkan makan ketupat dengan kari, rendang dan juga sambal kacang. Tapi hakikatnya yang ditelan hanyalah 'Isyh. Akhirnya kami sama-sama tergelak di meja makan.


Munawwarin

Jika persepsi anda mengatakan bahawa bangsa Arab Mesir keras, kasar, mudah marah, suka bergaduh dan sombong, anda patut ke Idfu. Amat ketara sekali sikap, sifat dan juga perwatakan arab di sana. Mungkin juga persekitaran di sini menjadikan mereka begitu. Udara yang bersih dan nyaman, ladang-ladang tebu, gandum, dan sayur-sayuran yang terbentang luas, Sungai Nil yang mengalir akan membuatkan diri tenang dan tidak tertekan. Begitu barangkali. Mereka di sana golongan Muhibbin, golongan yang mencintai Ahli Bait Rasulullah S.A.W. Banyak majlis memuji-memuji Rasulullah S.A.W, para sahabat dan juga keturunanNya dianjurkan. Kami juga berpeluang dibawa berbuka puasa di beberapa kawasan lain. Banyak lagi perkara yang kami lalui sepanjang 2 minggu di sana. Jika hendak diceritakan tidak cukup dengan tulisan. Datang dan lalui sendiri. Apa yang pasti, layanan dan sikap ramah mereka akan membuatkan anda rindu untuk ke sana lagi. Moga diberi peluang untuk ke sana lagi.

0 comments:

 
© Laman ini masih tidak sesuai untuk web browser Internet Explorer. Sila gunakan Firefox untuk pelayaran internet yang lebih berkuasa tinggi.
Resolusi paparan terbaik untuk blog ini adalah 1024x768 | yazid almuari |