Thursday, October 9, 2008

Kisah Bermula

Usuluddin, Al-Azhar Kaherah

Alahmdulillah, semalam saya lihat nama di Maktab Tansiq. Dan natijah yang saya dapat ialah jurusan Usuluddin, Universiti Al-Azhar di kampus utama Kaherah. Sama seperti yang dimohon dalam pilihan pertama saya. Alhamdulillah, betul-betul syukur. Jika nama keluar di kampus cawangan pening saya dibuatnya nanti. Perlu uruskan penempatan baru, kena serasikan suasana dan tempat baru. Sudah tentu akan gunakan masa, tenaga dan wang yang banyak. Jika di sini, saya tidak perlu pening apa-apa. Cuma perlu tumpukan terus pada pengajian. Kelas pengajian luar kampus juga banyak. Apa yang pasti saya perlu gandakan usaha. Terima kasih bagi mereka yang membantu dan memberikan saya semangat. Moga urusan-urusan seterusnya akan lebih dimudahkan oleh-Nya.


Gambar Raya


Pagi tadi saya membuat temu janji dengan kakak saya. Bukan di sini, tetapi hanya di jaringan internet. Pesanan saya agar beliau mengambil gambar keluarga serta sanak saudara ketika waktu raya betul-betul direalisasikannya. Sudah 2 tahun tidak melihat perkembangan keluarga. Saya cuma ada simpanan gambar 2 tahun yang lepas. Jika dibandingkan memang amat berbeza sekali. Rumah sudah bertukar wajah dan warna tema. Abah semakin banyak uban di kepala. Alir kerutan dan kedutan di mukanya juga nampak ketara. Akak abang sudah menampakkan wajah kematangannya. Adik-adik sudah mula besar meninggi. Anak-anak saudara sudah membesar dan pasti tidak kenal saya. Makngah sudah mula kurang ingatan dan tidak boleh berjalan. Dan macam-macam lagi. Semasa saya di sini saja, dalam 4 orang saudara saya meninggal dunia. Apa yang pasti, pabila melihat gambar-gambar tersebut hati menjadi rindu. Begini rupanya erti merantau berjauhan.

Sunday, October 5, 2008

EDISI AIDILFITRI

Salam Aidilfitri

Terlewat sedikit tahun ini untuk mengucapkan Salam Aidilfitri kepada keluarga, guru-guru, sahabat handai dan juga kenalan. Keluarga di Malaysia hanya sempat saya hubungi pada hari raya ke-4. Bukannya apa. Saya ketika itu berada di satu tempat yang jauh dari sumber internet. Namun sempat juga saya dahulukan beberapa mesej kepada beberapa orang yang utama. Jika anda menerima mesej tersebut, maka anda adalah orang yang diutamakan dalam hidup saya. Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin.


Idfu

Terletak di selatan Republik Arab Mesir, beberapa puluh kilometer sebelum memasuki kawasan Aswan. Perjalanan menaiki keretapi mengambil masa lebih kurang 13 jam dari Kota Kaherah. Pengalaman menyambut Aidilfitri di sini amat berbeza sekali daripada tahun-tahun yang telah lepas. Jika di Kaherah masih boleh jumpa lagi rendang, kuih raya, ketupat tiruan dan pelbagai lagi makanan ala-ala raya di rumah negeri. Tetapi di sini, hanya dengan 2 biji pisang, sebiji jambu dan kekacang di pagi Aidilfitri sebelum menunggu waktu sarapan Isyh (roti arab), 'Asal Iswit (madu hitam) dan juga Fuul (kacang). Salah seorang daripada kami memberi idea dengan membayangkan makan ketupat dengan kari, rendang dan juga sambal kacang. Tapi hakikatnya yang ditelan hanyalah 'Isyh. Akhirnya kami sama-sama tergelak di meja makan.


Munawwarin

Jika persepsi anda mengatakan bahawa bangsa Arab Mesir keras, kasar, mudah marah, suka bergaduh dan sombong, anda patut ke Idfu. Amat ketara sekali sikap, sifat dan juga perwatakan arab di sana. Mungkin juga persekitaran di sini menjadikan mereka begitu. Udara yang bersih dan nyaman, ladang-ladang tebu, gandum, dan sayur-sayuran yang terbentang luas, Sungai Nil yang mengalir akan membuatkan diri tenang dan tidak tertekan. Begitu barangkali. Mereka di sana golongan Muhibbin, golongan yang mencintai Ahli Bait Rasulullah S.A.W. Banyak majlis memuji-memuji Rasulullah S.A.W, para sahabat dan juga keturunanNya dianjurkan. Kami juga berpeluang dibawa berbuka puasa di beberapa kawasan lain. Banyak lagi perkara yang kami lalui sepanjang 2 minggu di sana. Jika hendak diceritakan tidak cukup dengan tulisan. Datang dan lalui sendiri. Apa yang pasti, layanan dan sikap ramah mereka akan membuatkan anda rindu untuk ke sana lagi. Moga diberi peluang untuk ke sana lagi.

Sunday, September 14, 2008

Karnival JOM IBADAH


Thursday, September 11, 2008

Dunia Baru

Urusan Selesai

Salam buat semua. Alhamdulillah, urusan kuliah telah selesai semalam. Saya hanya berharap pemprosesan berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Terima kasih kepada keluarga saya yang akhirnya memberi lampu hijau untuk terus di sini. Tentulah berita gembira buat saya kerana masih diberi peluang. Apa pun, saya baru bermula. Bermula dengan kosong. Otak saya perlu diubah sedikit, kerana dunia Syariah dengan dunia baru saya itu berbeza. Itu akan saya cerita kemudian. Bagi sahabat-sahabat saya di sini, tolong tengok-tengokkan saya. Tegur-tegur saya. Tunjuk ajar saya. Walaupun sudah hampir 3 tahun di sini, tapi hakikatnya saya baru mulakan dengan dunia baru saya. Doakan semoga pilihan pertama saya diutamakan. Amin.

Buat Ustaz Taufik Adib

Entri ini sebenarnya untuk Saudara Taufik. Saya sebenarnya masih belum ada idea untuk menulis ketika ini. Tetapi atas desakan beliau yang selalu memantau blog saya, saya cuba garapkan juga. Bukan untuk dibaca sahaja, tetapi juga sebagai medan kritikan yang membina buat beliau. Tempat beliau untuk mengkritik. Ada baiknya juga sahabat yang suka mengkritik ni. Masing-masing punyai hobi tersendiri. Saya cuma layankan saja.

Baru Belajar

Saya tidaklah sehebat mana dalam menulis. Masih perlu merujuk kamus-kamus untuk penggunaan istilah yang betul. Saya juga melihat gaya-gaya penulisan dari blog sahabat-sahabat saya yang saya kira hebat juga. Antara blog mereka Tarbus Merah, Ishaq Hanis, dan Hati Doktor. Persembahan penulisan mereka nampak simple dan mudah dibaca. Seolah-olah ia lahir dari hati, bukan direka. Itu yang saya cuba belajar. Bukan karangan yang berjela-jela yang akhirnya membuahkan mesej yang gagal disampaikan.

Masjid Ferrari

Sebilangan besar warga Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK) pasti mengetahui gelaran bagi masjid ini. Walaupun bukan nama sebenar, tetapi ia antara masjid pilihan ketika solat sunat terawih. Bagi mereka yang inginkan bacaan yang lunak serta mempunyai masa yang panjang, mereka akan memilih Masjid Al-Azhar ataupun Masjid Saidina Hussein. Masjid yang popular di sini. Itu pilihan bagi mereka yang tinggi jihadnya. Tapi bagi mereka yang biasa-biasa, inginkan kelajuan yang nyata, Masjid Ferrari adalah pilihan yang tepat. Nampak saja laju, tapi rukun, sunat serta bacaan tetap dijaga. Kata orang, biar sedikit daripada banyak yang memudharatkan. Moga Ramadhan yang masih berbaki ini dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.

*kalau Masjid Taqwa macam mana pula?

Sunday, August 31, 2008

Edisi Merdeka

Pegawai Kedutaan "Turun Padang"?



Ya, turun padang. Bukan istilah dalam Kamus Dewan (turun padang; pergi sendiri ke sesuatu tempat untuk melihat dan meninjau sesuatu keadaan). Ini betul-betul turun padang main bola. Pak Duta, Encik Puat, Encik Yazid, Encik Azhari, pegawai-pegawai rumah negeri, pegawai-pegawai Petronas serta beberapa pegawai Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang lain juga datang. Nampak saja badan bulat-bulat, tapi boleh tahan juga. Kata orang, inilah masanya untuk sepak kaki-kaki pegawai. Paling tidak pun buli. Tapi awas, silap-silap kena buli balik. Perlawanan bola sepak diadakan di Stadium Abbasiah antara pasukan pegawai kedutaan dan pasukan Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK) serta pasukan jemputan dari Terengganu. Menang kalah bukanlah persoalannya. Ia nampak lebih bermotifkan untuk merapatkan hubungan pihak kedutaan dengan pelajar yang sememangnya nampak renggang. Biasalah, mereka semakin kurang orang untuk mendokong program-program mereka. Jika bukan kami sasarannya, siapa lagi.

Erti Merdeka Di Jiwa Rakyat


51 tahun Malaysia telah diisytiharkan merdeka. Kebiasaannya apabila tiba bulan Ogos, kempen kibarkan Jalur Gemilang rancak dijalankan. Pelbagai senario berkaitan kemerdekaan dapat kita lihat sepanjang Ogos ini. Antaranya yang terkini, sebuah laman blog milik Sheih Kickdefella telah menyuarakan kempen terbalikkan Jalur Gemilang sebagai salah satu cara protes terhadap kerajaan pimpinan Pak Lah. Suatu cadangan yang boleh dianggap menghina diri sebagai rakyat Malaysia. Semakin kurang konvoi bermotor sempena merdeka dianjurkan disebabkan harga minyak yang tinggi. Hak ketuanan melayu dan Kontrak Sosial mulai dipersoalkan. Segalanya memberikan kesan dan juga tamparan yang hebat kepada pihak yang berkaitan. Akibatnya, nilai dan nikmat kemerdekaan itu sendiri semakin menghilang dan akhirnya lenyap dari sanubari rakyat Malaysia.


Salam Ramadhan


Pertama kali menghadiri Majlis Melihat Anak Bulan Ramadhan membuatkan hati saya terusik. Sejuk melihat para agamawan dan juga ilmuan Islam di Mesir berkumpul dalam satu majlis. Tentulah di kalangan mereka ini hafiz Al Quran, orang yang hebat serta tinggi ilmunya. Pada mulanya, saya sangkakan ia majlis untuk sama-sama melihat anak bulan Ramadhan. Rupanya hanya pengisytiharan sahaja. Majlis diadakan di Al-Azhar Conference Centre (ACC), Kaherah, Mesir. Pengisytiharan dibuat sendiri oleh Mufti Mesir, Syeikh Ali Jumaah. Majlis turut dihadiri oleh Al-Imam Al-Akbar Syeikh Al-Azhar, Prof. Dr. Muhammad Sayid Tantawi serta beberapa orang besar Republik Arab Mesir.

Ramadhan di sini ditempuhi ketika musim panas yang belum lagi berakhir. Waktu siang yang lebih panjang daripada waktu malam. Satu petanda bahawa tekak akan lebih cepat kering dan bibir akan mula pecah. Sepanjang Ramadhan di sini tidak perlu mengeluarkan duit walau satu sen pun untuk juadah berbuka puasa. Maidah Rahman sedia menanti untuk mereka yang berpuasa. Jika anda seorang yang bijak (suka mengambil kesempatan), anda boleh mengambil Maidah Rahman di tempat lain untuk dimakan ketika waktu sahur. Jimat kan? Bijak bijak juga, kesempatan yang lebih utama perlulah didahulukan. Walau apa pun, bersamalah kita berazam untuk menempuhi Ramadhan kali ini dengan penuh makna. Moga madrasah Ramadhan kali ini dapat kita isi, nikmati serta hayati dengan sebaik mungkin. Insya Allah.


Glosari :

senario :urutan peristiwa atau perkembangannya yang diramalkan berlaku.
protes : pernyataan tidak setuju dengan sesuatu dasar atau usul
konvoi : sekumpulan kenderaan darat yang berjalan bersama-sama.
orang besar : orang yang berpangkat tinggi, orang mulia (bangsawan)
Maidah Rahman : juadah berbuka puasa yang diberikan secara percuma.

Thursday, August 28, 2008

PERMIS '08 - Relevankah Sedunia?

gambar ihsan : Tarbus Merah

Tidak Sehebat Nama

Gempak namanya. Persidangan Mahasiswa Islam Sedunia (PROMIS) telah diadakan pada 25 - 26 Ogos 2008 bersamaan 26 - 27 Syaaban 1429, bertempat di Dewan Kristal di Sally Mall, Madinatul Nasr, Kaherah, Mesir. Dengan bertemakan "Temukan Idea, Mendepani Massa", persidangan ini dihadiri oleh wakil mahasiswa dari negara Mesir, Yaman, Syria, Jordan, Ireland, dan United Kingdom. Wakil dari negara Jepun dan Amerika Syarikat tidak dapat menghadirkan diri atas sebab-sebab tertentu.

Tertarik

Saya tertarik untuk menyertai persidangan ini bukanlah untuk melihat bagaimana persidangan yang disifatkan sedunia ini berlangsung. Tetapi saya lebih terpanggil untuk melihat dan mendengar sendiri idea-idea serta buah fikiran daripada wakil-wakil negara yang bersidang. Mereka ini sudah tentulah orang yang hebat fikrahnya, tinggi kepimpinannya dan juga mempunyai idea-idea baru yang bernas. Jika tidak, mana mungkin mereka akan dihantar mewakili Majlis Perwakilan Mahasiswa di negara tempat mereka belajar. Ini pada tanggapan saya.

Kecewa

Saya sedikit kecewa kerana perjalanan persidangan ini banyak diselangi oleh tayangan program-program yang dianjurkan oleh pihak Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Sehinggakan masa yang suntuk terpaksa digunakan sebaiknya oleh wakil pembentang kertas kerja dari negara-negara yang bersidang. Saya percaya kebanyakan yang datang bukanlah untuk melihat tayangan wayang, tetapi untuk bertukar-tukar pendapat serta buah fikiran dengan wakil setiap negara. Bukan masalah wang LE40 bagi kami, tapi tempoh 2 hari sepatutnya digunakan sebaiknya. Apatah lagi ada wakil negara yang sanggup datang ke persidangan ini dengan menggunakan duit sendiri beribu ringgit.

Koreksi

Tahniah buat pihak PMRAM. Saya kira amat susah untuk dianjurkan oleh persatuan-persatuan lain di Mesir ini. Hasil daripada PERMIS ini, 8 resolusi dapat dihasilkan untuk dilaksanakan oleh setiap negara yang bersidang. Setiap kelemahan dan kekurangan perlu dikoreksi bersama agar program ini dapat diteruskan dengan lebih baik pada tahun mendatang.

*masih belum boleh dinamakan "sedunia".

Glosari :

Relevan : ada kaitan atau hubungannya (dgn), dapat dikaitkan atau dihubungkan (dgn)
Fikrah : daya berfikir, pemikiran
Koreksi : perihal meneliti dan membetulkan kesilapan (kesalahan)

Tuesday, August 26, 2008

Majlis Konvokesyen Suram

Assalamualaikum warahmatullah.

Bertugas

Kelmarin (Ahad, 24 Ogos 2008) telah berlangsungnya Majlis Konvokesyen Graduan Malaysia Universiti Al-Azhar Mesir anjuran Kedutaan Malaysia Mesir. Saya sekali lagi diberi tugas sebagai Jawatankuasa Rakaman dan Dokumentasi. Tugas yang sama dipikul semasa Majlis Konvokesyen 2006 dibawah kelolaan Tepak Sireh Media (TSM) ketika itu. Jawatankuasa Rakaman dan Dokumentasi tidak hanya bertugas mengambil gambar dan merakam perjalanan majlis semasa majlis berjalan. Kerja-kerja kami perlu diteruskan selama beberapa hari lagi sehingga gambar diserahkan kepada para graduan 29 Ogos ini. Video perlu disunting, gambar perlu diedit, dicuci serta disusun mengikut nama graduan. Semua perlu dilakukan dan dihasilkan dengan penuh teliti untuk tatapan serta diabadikan sepanjang hidup graduan. Tidak boleh tersilap sedikit pun. Kenangan indah la katakan. Amat berbaloi kerana kami hanya mengenakan bayaran LE25.00. Suatu harga yang amat susah untuk dicari di Malaysia.

Suram

Majlis konvokesyen kali ini dalam penilaian saya tidak semeriah majlis konvokesyen yang dianjurkan kali pertama. Dewan Utama Al-Azhar Conference Centre (ACC) nampak kosong. Lebih separuh kerusi dewan tidak digunakan. Para graduan yang mengambil bahagian juga berkurang. Jika tahun 2006 graduan yang berdaftar hampir mencecah 400 orang, namun pada kali ini hanya 184 orang sahaja seperti yang diberitahu oleh bahagian pendaftaran konvokesyen. Kerusi VVIP di atas pentas utama juga nampak kosong. Universiti Al-Azhar hanya diwakili oleh Al-Imam Al-Akbar Syeikh Al-Azhar, Prof. Dr. Muhammad Sayid Tantawi, dan juga Naib Presiden Universiti Al-Azhar. Tidak seperti sebelumnya, lebih 6 orang mewakili delegasi dari Universiti Al-Azhar datang untuk turut sama meraikan konvokesyen graduan Malaysia.

Tahniah

Dewan Utama ACC disewa selama 2 hari ( termasuk hari raptai ) dengan nilai puluhan ribu Pound Mesir. Amat rugi bagi saya kerana sebahagian besar dewan tidak digunakan dengan sebaiknya. KOSONG. Walau apa pun, majlis konvokesyen ini tetap berjalan lancar seperti yang diharapkan. Tahniah buat mereka yang berjaya.

 
© Laman ini masih tidak sesuai untuk web browser Internet Explorer. Sila gunakan Firefox untuk pelayaran internet yang lebih berkuasa tinggi.
Resolusi paparan terbaik untuk blog ini adalah 1024x768 | yazid almuari |