Tuesday, August 26, 2008

Majlis Konvokesyen Suram

Assalamualaikum warahmatullah.

Bertugas

Kelmarin (Ahad, 24 Ogos 2008) telah berlangsungnya Majlis Konvokesyen Graduan Malaysia Universiti Al-Azhar Mesir anjuran Kedutaan Malaysia Mesir. Saya sekali lagi diberi tugas sebagai Jawatankuasa Rakaman dan Dokumentasi. Tugas yang sama dipikul semasa Majlis Konvokesyen 2006 dibawah kelolaan Tepak Sireh Media (TSM) ketika itu. Jawatankuasa Rakaman dan Dokumentasi tidak hanya bertugas mengambil gambar dan merakam perjalanan majlis semasa majlis berjalan. Kerja-kerja kami perlu diteruskan selama beberapa hari lagi sehingga gambar diserahkan kepada para graduan 29 Ogos ini. Video perlu disunting, gambar perlu diedit, dicuci serta disusun mengikut nama graduan. Semua perlu dilakukan dan dihasilkan dengan penuh teliti untuk tatapan serta diabadikan sepanjang hidup graduan. Tidak boleh tersilap sedikit pun. Kenangan indah la katakan. Amat berbaloi kerana kami hanya mengenakan bayaran LE25.00. Suatu harga yang amat susah untuk dicari di Malaysia.

Suram

Majlis konvokesyen kali ini dalam penilaian saya tidak semeriah majlis konvokesyen yang dianjurkan kali pertama. Dewan Utama Al-Azhar Conference Centre (ACC) nampak kosong. Lebih separuh kerusi dewan tidak digunakan. Para graduan yang mengambil bahagian juga berkurang. Jika tahun 2006 graduan yang berdaftar hampir mencecah 400 orang, namun pada kali ini hanya 184 orang sahaja seperti yang diberitahu oleh bahagian pendaftaran konvokesyen. Kerusi VVIP di atas pentas utama juga nampak kosong. Universiti Al-Azhar hanya diwakili oleh Al-Imam Al-Akbar Syeikh Al-Azhar, Prof. Dr. Muhammad Sayid Tantawi, dan juga Naib Presiden Universiti Al-Azhar. Tidak seperti sebelumnya, lebih 6 orang mewakili delegasi dari Universiti Al-Azhar datang untuk turut sama meraikan konvokesyen graduan Malaysia.

Tahniah

Dewan Utama ACC disewa selama 2 hari ( termasuk hari raptai ) dengan nilai puluhan ribu Pound Mesir. Amat rugi bagi saya kerana sebahagian besar dewan tidak digunakan dengan sebaiknya. KOSONG. Walau apa pun, majlis konvokesyen ini tetap berjalan lancar seperti yang diharapkan. Tahniah buat mereka yang berjaya.

0 comments:

 
© Laman ini masih tidak sesuai untuk web browser Internet Explorer. Sila gunakan Firefox untuk pelayaran internet yang lebih berkuasa tinggi.
Resolusi paparan terbaik untuk blog ini adalah 1024x768 | yazid almuari |