Thursday, October 9, 2008

Kisah Bermula

Usuluddin, Al-Azhar Kaherah

Alahmdulillah, semalam saya lihat nama di Maktab Tansiq. Dan natijah yang saya dapat ialah jurusan Usuluddin, Universiti Al-Azhar di kampus utama Kaherah. Sama seperti yang dimohon dalam pilihan pertama saya. Alhamdulillah, betul-betul syukur. Jika nama keluar di kampus cawangan pening saya dibuatnya nanti. Perlu uruskan penempatan baru, kena serasikan suasana dan tempat baru. Sudah tentu akan gunakan masa, tenaga dan wang yang banyak. Jika di sini, saya tidak perlu pening apa-apa. Cuma perlu tumpukan terus pada pengajian. Kelas pengajian luar kampus juga banyak. Apa yang pasti saya perlu gandakan usaha. Terima kasih bagi mereka yang membantu dan memberikan saya semangat. Moga urusan-urusan seterusnya akan lebih dimudahkan oleh-Nya.


Gambar Raya


Pagi tadi saya membuat temu janji dengan kakak saya. Bukan di sini, tetapi hanya di jaringan internet. Pesanan saya agar beliau mengambil gambar keluarga serta sanak saudara ketika waktu raya betul-betul direalisasikannya. Sudah 2 tahun tidak melihat perkembangan keluarga. Saya cuma ada simpanan gambar 2 tahun yang lepas. Jika dibandingkan memang amat berbeza sekali. Rumah sudah bertukar wajah dan warna tema. Abah semakin banyak uban di kepala. Alir kerutan dan kedutan di mukanya juga nampak ketara. Akak abang sudah menampakkan wajah kematangannya. Adik-adik sudah mula besar meninggi. Anak-anak saudara sudah membesar dan pasti tidak kenal saya. Makngah sudah mula kurang ingatan dan tidak boleh berjalan. Dan macam-macam lagi. Semasa saya di sini saja, dalam 4 orang saudara saya meninggal dunia. Apa yang pasti, pabila melihat gambar-gambar tersebut hati menjadi rindu. Begini rupanya erti merantau berjauhan.

0 comments:

 
© Laman ini masih tidak sesuai untuk web browser Internet Explorer. Sila gunakan Firefox untuk pelayaran internet yang lebih berkuasa tinggi.
Resolusi paparan terbaik untuk blog ini adalah 1024x768 | yazid almuari |